Tuesday, November 28, 2006

"Calon Buat Along" (Part 2)

Sambungan dari : http://adrysabry.blogspot.com/2006/10/calon-buat-along-my-favourite-story.html
...........................................

Langkahku lesu menghampiri rumah. Seharian aku memandu dari satu perpustakaan ke perpustakaan lain untuk menyiapkan tesis masterku. Sebaik sahaja membuka pintu, perasaanku kembali tak menentu, bila melihat Mama yang tidak bersendirian. Seorang lelaki berjubah dan berkopiah nampak menemani beliau. Jangan, jangan....

"Panjang umur dia, hah. Dah balik pun Along. Along mari sini sayang. Ini Salleh anak Pak Samat yang baru je habis belajar pondok di Kedah. Kamu berdua mesti boleh bekerjasama mengendalikan masjid di sini."

Aduhh,Mama!

Kali ini mama membiarkan aku berdua dengan tetamu itu. Cepat aku ke dalam mencari Nani dan menyuruhku menemaniku.

Sepanjang Salleh bercakap, aku hanya tunduk membisu. Tak sanggup rasanya aku menahan pandangan tajamnya ke arahku. Dengan gaya bahasa yang tinggi, Salleh bercerita tentang berbagai kisah berbahasa Arab yang telah dia kuasai. Bukan main. Lalu dia berbahas satu persatu perbezaan pendapat di kalangan umat Islam. Soal doa qunut, perbezaan iftitah, masalah kedudukan telunjuk ketika tahiyyat, dan lain-lain yang senada.

Terus terang , aku tidak begitu setuju dengan caranya. Memang betul, semuanya satu yang harus kita ketahui, tapi bagiku, dengan memperbanyakkan perbincangan tentang masalah furu' hanya akan meruncingkan lagi perbezaan yang sedia ada.

"Bagaimana pandangan Salleh tentang krisis Bosnia suatu ketika dulu?" tanyaku mengalihkan perhatian.

"Ohh itu, ana sangat tidak bersetuju. Menurut pendapat ana, tidak seharusnya masalah Bosnia itu digembar-gemburkan. Masalah ini kalau diperbesarkan akan menyebabkan remaja semakin tersisih. Mesti ada usaha mendekati mereka dan bukan menjauhkan lagi mereka dari kita."

Akhirnya aku yang bingung.

"La, takkan yang tanya lebih bingung?! Yang ana bincangkan tadi tentang Bohsia, itu kan maksud Along?

Kutahan tawa yang hampir keluar. dari sudut mataku, kulihat Nani terhinguk-hinguk menahan ketawa, sambil membetulkan tudung pinknya. Lucu sekali. Aku membetulkan salah sangka Salleh.

"Oooh yang itu, Ya.... jelas panindasan itu tidak boleh dibenarkan." ujar Salleh optimis, lalu...

"Agaknya Bosnia itu di mana ya?"
Tawa Nani meledak. Aduhai, Mama!!!




Sebelah malamnya, aku mengadu pada mama tentang Salleh. "La.. kamu ni macam mana? Kata Luqman kamu nak pada Salleh. Jadi mama carikan apa yang kamu hajat. Jadi sebenarnya Salleh mana calon kamu itu?"



Aku terhenyak. Luqman tersenyum simpul. Jaga kamu ya. "Bukan yang namanya Salleh, Ma. Along ingin yang soleh, yang taat beribadah. Orang yang mempunyai pemahaman yang menyeluruh tentang Islam. Yang Islamnya tidak hanya pada teori, tapi dibuktikan. Along tahu, usia Along sudah jauh dari cukup. Along pun nak segera menikah. Perempuan mana yang tidak ingin berkeluarga dan mempunyai anak?" lanjutku hampir menangis.



"Tapi.. Tolong jangan desak Along. Mama tolong bantu Along agar boleh bersabar, tetap bertawakal pada Allah. Biar Along terpaksa menunggu sampai tua, Along sanggup daripada bersuamikan orang yang akhlaknya tidak "Islamik"... Kusaksikan mata mama berkaca-kaca. Diraihnya aku dalam pelukannya.

...........................................
Bersambung...


No comments: